Make your own free website on Tripod.com
'GHAZAL UNTUK RABIAH' JUARA LAGU '97!

KUALA LUMPUR : Lagu 'Ghazal Untuk Rabiah' nyanyian JAMAL ABDILLAH dan M.Nasir meraih wang tunai RM37,000 apabila membolot dua kategori dalam Juara Lagu '97 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.Selain meraih hadiah utama Juara Lagu '97 bernilai RM25,000, lagu ciptaan M.Nasir bersama JAMAL ABDILLAH sendiri dan lirik ditulis Cenderawasih itu juga diumumkan sebagai juara kategori Irama Malaysia untuk meraih wang tunai RM12,000 dan trofi.

Sementara itu, penyanyi remaja sensasi, Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu 'Aku Cinta Padamu', sekali lagi dipilih memenangi hadiah persembahan terbaik yang menyediakan wang tunai RM6,000 dan trofi.Tahun lalu, Siti Nurhaliza memenangi kategori yang sama dengan lagu 'Jerat Percintaan'.Lagu 'Aku Cinta Padamu' ciptaan LY atau nama sebenarnya Rozman Shafie, manakala lirik ditulis isterinya, Baiduri, juga menerima hadiah wang tunai RM12,000 selepas diumumkan sebagai pemenang kategori Balada. Lagu 'Itik Gembo Gembo' ciptaan Helen Yap, lirik ditulis Darwish bersama Lann dan dinyanyikan kumpulan A To Z, pula memenangi kategori Pop Rock untuk menerima wang tunai RM12,000 bersama trofi.

Semua hadiah disampaikan Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik. Turut hadir, Pengarah Urusan TV3, Datuk Zahari Omar. Sebanyak 12 lagu dipertandingkan, iaitu lagu 'Hela Bubu Hela' nyanyian A To Z, 'Senja Nan Merah' (Awie dan Ziana Zain), 'Apa Ku Rasa' (Shima), 'Ghazal Untuk Rabiah' (JAMAL ABDILLAH dan M.Nasir), 'Naluri' (Nora), 'Biru Mata Hitamku' (Wings), 'Awallah Dondang' (Noraniza Idris), 'Aku Cinta Padamu' (Siti Nurhaliza), 'Itik Gembo Gembo' (A To Z), 'Kalau Mencari Teman' (Ziana Zain), 'Seroja' (Search) dan 'Cemburu' (KOOL).


BERITA HARIAN - 28 Disember 1997