Make your own free website on Tripod.com

KONSERT SOLO ORKESTRA - KEHEBATAN JAMAL ABDILLAH TERBUKTI !

Walaupun hampir sekian lama menyepikan diri dalam bidang nyanyian, namun Jamal Abdillah ternyata masih belum kehilangan taring. Alunan merdu suara beliau masih mampu untuk memukau siapa sahaja yang mendengarnya. Ini terbukti ketika Jamal mengadakan konsert solo beliau yang pertama pada malam Sabtu yang lalu (4 Ogos) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Biarpun tiket untuk menyaksikan konsert ini dijual dengan harga yang agak mahal iaitu dari RM70 hingga RM230, namun tempat duduk di Dewan Merdeka pada malam itu hampir semuanya dipenuhi oleh penonton. Penonton yang hadir pula boleh dikatakan terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Beberapa orang artis dan selebriti yang turut kelihatan menghadiri konsert Jamal. Antaranya ialah Khadijah Ibrahim, 'Sasterawan Negara' A. Samad Said, dan bekas isteri Jamal, Basariah Latif. Tepat jam 9.20 malam, Jamal muncul di atas pentas. Sambil memetik gitar, Jamal membuka tirai konsert dengan menyanyikan lagi 'Seniman Menangis' dengan disambut oleh tepukan yang gemuruh daripada penonton. Kemudian Jamal meneruskan lagi konsert dengan menyampaikan lagu 'Keluhan Perantau', 'Derita Cinta', 'Kembalilah', 'Aku' dan 'Sepi Seorang Perindu' sambil diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan Ishak Ali Muda. Selepas itu, Jamal menjemput Intan Sarafina untuk berduet dengan beliau dan mereka menyampaikan lagu 'Ku Tahu Hatimu Terluka', 'Sandarkan Pada Kenangan' (dipetik daripada filem 'Azura') dan 'Kehebatan Cinta'. Jamal sekali mendapat tepukan yang gemuruh ketika beliau menyanyikan lagu 'Tidurlah Permaisuri'. Malah beberapa orang penonton turut bersama-sama menyanyi ketika Jamal mendendangkan lagu 'Nasib Diriku', 'Ke Mana Ku Bawa Hati Yang Rindu', 'Sendiri', 'Madah Seloka', 'Nadi Cinta' dan 'Takdir Penentu Segala'. Kemudian Jamal mengubah rentak persembahan beliau dengan menyampaikan lagu-lagu 'Bunga Pujaan', 'Ku Sangka Siang Kiranya Malam', 'Azura' dan 'Seniman Menangis', sambil memetik gitar bersama seorang pemain gitar lain. Sesekali Jamal cuba untuk berceloteh dengan penonton. Walaupun tidak berapa pandai berkomunikasi, namun gaya dan aksi Jamal yang tersendiri sudah cukup untuk membuatkan penonton tertawa. Sebaik sahaja habis menyanyikan lagi tersebut, Jamal yang menghilang di belakang pentas tiba-tiba sahaja muncul di tengah-tengah penonton sambil menyanyikan lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir'. Ketika ini, mungkin kerana diserbu oleh peminat, lirik yang dinyanyikan oleh Jamal sedikit lari daripada temponya. Namun Jamal bijak memperbetulkannya kembali. Sambil itu beliau sempat bersalaman dengan peminat beliau yang hadir pada malam tersebut. Masing-masing kelihatan berebut-rebut untuk bersalaman dan bergambar dengan beliau. Bagi diri Jamal sendiri, beliau sendiri tidak menyangka atas sambutan yang hebat yang ditunjukkan oleh para peminat beliau. "Mulanya saya fikir ada ke yang nak tengok saya menyanyi lagi. Ingatkan dewan ni takkan penuh. Tapi saya silap," ujar beliau. Malah ramai yang telah membesar bersama-sama dengan lagu beliau. Yang kecil sudah menjadi besar dan yang belajar ada yang sudah menjadi ahli korporat tetapi diri beliau masih seperti dulu. Yang bezanya, tidak lama lagi beliau akan bakal bergelar seorang bapa, Jamal berceloteh. Perjalanan konsert kemudian diteruskan lagi dengan lagu 'Penghujung Rindu', 'Mati Hidup Semula', 'Bingkisan Untukmu', 'Kereta Baru', 'Pilihan Hati', 'Kau Lupa Janji' dan 'Perjalananku'. Walaupun konsert pada pada malam tersebut mengambil masa hampir satu jam setengah, namun para penonton seolah-olah macam tidak percaya dan tidak puas hati apabila Jamal mengumumkan lagu 'Samrah Mentari' adalah lagu yang terakhir akan disampaikan beliau pada malam itu. Malah masih ramai yang tidak berganjak daripada tempat duduk walaupun Jamal telah mengakhiri persembahan beliau. Konsert yang berlangsung selama satu setengah jam ini membuktikan Jamal benar-benar seorang penyanyi yang hebat! Walaupun membawakan 29 lagu selama satu jam setengah, namun suara beliau sedikitpun tidak “pecah” walaupun kebanyakan lagu-lagu beliau bernada tinggi!

Laporan : Noor Shamsiah Mohamad
Sumber : BERNAMA INFOTAINMENT
(8 Ogos 2001)

(Pra Konsert)
DEBARAN JAMAL ABDILLAH MENJELANG KONSERT..

Penyanyi lelaki bersuara `emas' Jamal Abdillah akan beraksi pada malam konsert solo sulung beliau. Bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, penghibur kelahiran Perak Darul Ridzuan ini bersedia menerima kehadiran peminat setia beliau.``Saya tidak dapat melarikan diri daripada perasaan gementar kerana inilah saat yang sudah lama saya nantikan. Semoga peminat akan memberi sokongan yang baik kepada saya,'' kata Jamal ketika ditanya perasaannya untuk beraksi di PWTC. Pada masa ini, Jamal sibuk menjalani latihan intensif bersama pemimpin orkestra yang akan mengiringi sepanjang persembahan beliau iaitu Ishak Ali Muda. Selain persiapan vokal, Jamal juga tidak mengabaikan ketahanan mental dan fizikal dengan melakukan pelbagai persiapan rapi. ``Saya akui bukan mudah untuk mengadakan konsert solo di tempat yang besar seperti PWTC, tetapi saya sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut'', ujar Jamal yang bakal menimang cahaya mata sulung menjelang November ini. Kepada peminat yang belum membeli tiket untuk menyaksikan konsert Jamal jangan ragu-ragu untuk mendapatkan tiket bernilai RM230, RM170, RM100 dan RM70. Harga tiket yang ditawarkan setimpal dengan kewibawaan dan reputasi Jamal sebagai satu-satunya penyanyi lelaki yang mampu mempertahankan populariti meskipun diri beliau pernah dihimpit dengan pelbagai sejarah hitam. Lagipun, ini merupakan julung kali Jamal mengadakan konsert solo sepanjang tempoh beliau bergelar penyanyi. Kepada yang berminat menyaksikan konsert ini, anda dipelawa mendapatkan tiket dengan membuat tempahan menerusi talian 03-7453027 (9 pagi hingga 12 malam). Kepada mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur, anda juga boleh berhubungan melalui laman web www.charge.com.my. Untuk lebih mudah, apa kata anda kunjungi sahaja kaunter tiket seperti kaunter Teguh Telecommunication yang terletak di ruang legar Kompleks PKNS, Shah Alam. Malah di kaunter tiket di ruang legar PWTC juga turut dijual tiket-tiket untuk konsert yang julung-julung kali diadakan itu. Lebih menarik lagi, pihak penganjur turut menawarkan hadiah cabutan bertuah selain peluang makan malam bersama Jamal kepada peminat yang bertuah.

Laporan : Saharudin Musthafa
Sumber : Pancaindera (MINGGUAN MALAYSIA)
(29 Julai 2001)

(Pra Konsert)
JAMAL ABDILLAH...KONSERT SOLO AKHIRI PENANTIAN !

Penantian penyanyi Jamal Abdillah selama 22 tahun untuk muncul dalam konsert solo akhirnya berakhir apabila beliau akan muncul dalam 'Konsert Solo Orkestra Jamal Abdillah'. Konsert yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 Ogos itu akan mencatat sejarah peribadi yang tersendiri kepada Jamal yang telah lebih 20 tahun dalam dunia nyanyian. Dengan berkonsep nostalgia, konsert itu menjadi medan untuk Jamal mempersembahkan semula lagu-lagu yang pernah mempopularkan diri beliau suatu ketika dahulu. ``Saya tidak menjanjikan sesuatu yang terlalu besar tetapi akan buat apa yang saya suka,'' ujar Jamal pada sidang akhbar di PWTC Rabu lalu. ``Lagu-lagu yang saya minat dan impian saya selama ini akan saya terjemahkan di dalam konsert ini,'' jelas Jamal. Menurut Jamal, beliau terpaksa menanti sekian lama untuk melaksanakan hasrat beliau muncul dengan konsert secara solo seperti ini. Meskipun mempunyai nama besar dan mendapat sokongan jutaan peminat dalam karier nyanyian beliau, Jamal menjelaskan sebelum ini beliau tidak yakin mampu melakukannya. Bagi beliau, melaksanakan sebuah konsert solo bukanlah sesuatu yang mudah. ``Sebab itu konsert saya sudah beberapa kali tertangguh. Saya tidak terkilan tetapi kadang-kadang rasa macam rendah diri,'' jelas beliau. ``Bagaimanapun permintaan daripada rakan-rakan dan penganjur konsert ini menyebabkan saya kembali yakin mampu melaksanakannya,'' jelas beliau lagi. Dalam persembahan beliau, menurut Jamal beliau tidak menjanjikan gimik yang berlebihan sebaliknya beliau bakal diiringi oleh pemuzik orkestra bertaraf antarabangsa di bawah pimpinan Ishak Ali Muda. Jamal akan memperdengarkan hampir sebahagian daripada 149 buah lagu yang pernah dirakamkan bersama syarikat rakaman Warner Music sejak tahun 1980. Rangkaian lagu berkenaan adalah aset yang telah meletakkan Jamal di puncak populariti melewati tempoh lebih dua dekad. Di samping kronologi lagu berkenaan juga, Jamal akan menyampaikan lagu-lagu yang pada pandangan peribadi beliau mempunyai nostalgia tersendiri dalam hidup beliau sebelum bergelar Juara Bintang RTM 1979. Tahun 2001 juga, menurut Jamal adalah tahun yang amat bertuah bagi diri beliau. Selain menzahirkan hasrat beliau mengadakan konsert solo, berkahwin dengan wanita pilihan dan bebas daripada belenggu dadah, beliau juga bakal bergelar bapa tidak lama lagi. Selain itu juga, Jamal turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Botanical Manufactures Sdn. Bhd. yang mengeluarkan minuman bertenaga, 'CHARGE'. Syarikat berkenaan juga bertindak selaku penaja utama konsert perdana ini. Pelantikan Jamal dibuat sejak tiga bulan lalu bagaimanapun hanya diumumkan kepada media dalam sidang akhbar berkenaan. Sementara itu, konsert ini juga turut mendapat kerjasama daripada PLUS dan Petronas serta TV3 sebagai stesen penyiar rasmi. Tiket berharga RM70, RM100, RM170 dan RM230 boleh didapati melalui talian hotline 03-7453027, laman web http// www.charge.com.my. Bagi peminat di Singapura pula boleh menghubungi talian 02-296 4477.

Laporan : Tengku Khalidah Tengku Bidin
Sumber : Hiburan (UTUSAN MALAYSIA)
(8 Julai 2001)