Jamal Abdillah atau nama sebenar beliau Jamal Ubaidillah Bin Haji Ali dilahirkan pada 7hb Mei 1959.Beliau merupakan anak sulung daripada 7 orang adik beradik yang terdiri dari 5 orang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan.Antara adik-adik beliau adalah Jamilul Hayat,Helmi Husseini,Elby Husni@Kamal Abdillah dan Ahmad Tihami@Hamka selain 2 orang lagi adik perempuan.Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah di negara Brunei Darussalam dan menyambung persekolahan menengah dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Seri Perak,Teluk Intan,Perak.Kemudian beliau meneruskan persekolahan beliau dari tingkatan empat ke tingkatan lima di negara Brunei Darussalam sekali lagi kerana mengikut ayah beliau yang bertugas di sana.Perlu ditegaskan di sini bahawa bakat yang terdapat dalam diri beliau adalah bakat semulajadi dan beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik.Sebelum menyertai pertandingan Bintang RTM 1979,beliau pernah menyertai Pertandingan Bintang Kecil seluruh negara Brunei Darussalam pada tahun 1973 dan juga telah menyertai 9 pertandingan nyanyian yang KESEMUANYA BELIAU MENDAPAT GELARAN JOHAN!
Jamal Abdillah adalah satu-satunya penyanyi solo yang paling popular di Malaysia dan setiap golongan masyarakat meminati beliau.Populariti beliau meningkat lagi apabila beliau mula mencuba bakat dalam bidang lakonan.Beliau telah diberi peluang berpasangan dengan bintang pujaan tanahair,Fauziah Ahmad Daud dalam filem 'Azura' keluaran Sabah Filem pada tahun 1984.Kemunculan beliau dalam filem 'Azura' telah berjaya memikat hati peminat-peminat dan pengkritik-pengkritik filem dengan memberi semangat yang Jamal Abdillah mempunyai potensi untuk muncul sebagai bintang filem yang ternama.'Azura' juga merupakan filem Melayu pertama yang berjaya memperoleh kutipan tiket mencecah RM1 juta dalam sejarah perfileman tanahair! Lalu,dengan berbekalkan semangat,dorongan serta permintaan ramai yang inginkan beliau berlakon lagi, maka pada tahun 1989 Jamal mendapat tawaran berlakon dalam filem 'Tuah' keluaran RJ Film Production milik Hajjah Rosnani Jamil.Sekali lagi Jamal menunjukkan lakonan yang memuaskan serta mendapat sambutan hangat.Filem-filem lain lakonan beliau adalah 'Sejati'(1991),'Kekasih Awal Dan Akhir'(1993),'Suratan Kasih'(1996) & 'Ghazal Untuk Rabiah'(1997).Semua filem lakonan beliau mencatat kutipan box-office terutamanya filem 'Kekasih Awal Dan Akhir' bersama Sofia Jane yang memungut RM1 juta dalam tempoh 7 hari tayangan dan RM2.1 juta selepas hampir sebulan menemui peminat filem Melayu di pawagam-pawagam seluruh tanahair,Brunei serta Singapura.
Jamal Abdillah sering menimbulkan kontroversi di arena hiburan tanahair.Setiap perkembangan beliau diikuti dengan terperinci oleh peminat-peminat beliau dan seringkali menjadi "headline" di akhbar-akhbar harian dan mingguan tanahair.Pada tahun 1985 Jamal sekali lagi mencetuskan isu hangat apabila beliau menegaskan yang beliau akan keluar WEA dan sekaligus meninggalkan Ahmad Nawab yang banyak membimbing beliau sebagai penyanyi.Ketegasan beliau bukanlah 'ibarat kacang lupakan kulit' tetapi inginkan perubahan dalam muzik serta lagu demi menjamin karier beliau sebagai penyanyi.Di tengah-tengah isu Jamal Abdillah sedang hangat diperkatakan,beliau muncul dengan album seterusnya iaitu 'Mati Hidup Semula' setelah menyertai semula WEA.Kelahiran album ini berjaya meletakkan nama Jamal sebagai penyanyi paling popular di Malaysia.Album tersebut menampakkan kematangan suara Jamal dan banyak terdapat perbezaan dari segi susunan muzik dan penyampaian.Pembaharuan ini telah diselaraskan oleh penerbit S. Atan dengan bantuan penerbitan oleh Manan Ngah dan pencipta-pencipta yang terlibat dalam pembikinan album ini iaitu Kesuma Booty,Adnan Abu Hassan,S.Shahlan,Fauzi Marzuki dan Azmi Hamzah.Jamal Abdillah juga buat pertama kalinya telah mencipta sekaligus menulis lirik untuk lagu yang dijadikan judul album ini iaitu 'Mati Hidup Semula'.Jamal menegaskan beliau mendapat ilham untuk mencipta lagu tersebut semasa menghadapi masalah di Sarawak.
Ramai peminat Jamal yang mahukan beliau menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab.Bagi tidak menghampakan peminat-peminat beliau,sekali lagi Ahmad Nawab diberi penghormatan menerbitkan album Jamal yang kelapan berjudul 'Sepi Seorang Perindu'.Setahun kemudian,'Seniman Menangis' lahir hasil sentuhan komposer yang sama.Selain Ahmad Nawab (kini Dato'),M.Nasir,Fauzi Marzuki,Adnan Abu Hassan & Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) juga pernah menerbitkan album-album beliau.Ternyata bakat semulajadi Jamal terserlah kerana beliau adalah seorang penyanyi serba boleh yang mampu menyampaikan lagu ciptaan sesiapa saja selagi bersesuaian dengan suara beliau.Ini diakui penyanyi-penyanyi popular seperti Anita Sarawak,Khadijah Ibrahim,Francesca Peters,Fauziah Latiff,Ziana Zain,Amelina,Siti Nurhaliza & Zamani(Slam).Semuanya pernah menyuarakan hasrat kepada pihak media untuk berduet dengan Jamal dalam album-album mereka.Tidak dapat dinafikan lagi,Jamal Abdillah adalah sebenar-benarnya 'Penyanyi Lelaki Bersuara Emas' terunggul dan paling lama bertahan di arena muzik tanahair.Beliau akan terus kekal sebagai lagenda...LAGENDA SENI SELAMANYA!