Make your own free website on Tripod.com
JAMAL ABDILLAH KAHWIN LAGI

BRUAS, 7 April - Penyanyi dan pelakon popular, Jamal Abdillah, 41, melangsungkan perkahwinan keduanya dengan pasangan pilihannya, Intan Noraina Mohd. Yusof, 29, di Kampung Pintu Gerbang di sini tengah hari ini. Majlis persandingan mereka diadakan penuh meriah di rumah pengantin perempuan dengan kehadiran saudara-mara dan sahabat handai kedua-dua pihak. Pada majlis itu, kedua-dua mempelai yang pernah gagal dalam perkahwinan pertama masing-masing, kelihatan ceria apabila mengenakan pakaian songket tradisional Melayu berwarna kuning. Sebelum ini, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali pernah mendirikan rumah tangga dengan Basariah Latif pada tahun 1988 sebelum mereka bercerai beberapa tahun lalu. Jamal yang popular dengan lagu-lagu ciptaan Dato' Ahmad Nawab seperti 'Derita Cinta' dan 'Sendiri' pernah menjadi Juara Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979. Pada tahun 1997, beliau memenangi kategori Irama Malaysia dalam pertandingan Juara Lagu anjuran TV3 menerusi lagu 'Ghazal Untuk Rabiah', berduet dengan komposer terkenal M. Nasir. Beliau juga pernah berlakon dalam enam buah filem termasuk 'Azura', 'Kekasih Awal Dan Akhir' dan 'Ghazal Untuk Rabiah'.

Laporan : Norzeha Kasbi
Sumber : UTUSAN MALAYSIA
(8 April 2001)

GOSIP : Pra-Perkahwinan...
JAMAL MASIH BERAHSIA

SELEPAS bercerai dengan Basariah Latif atau mesra dipanggil Dee, Jamal Abdillah seakan membawa diri dan menyepi dari dunia seni. Dia memilih untuk kembali menetap di kampung halamannya di Ipoh, Perak. Bagaimanapun, baru-baru ini terdengar perkembangan terbaru penyanyi bersuara lunak ini, dia menamatkan zaman duda dengan gadis sedaerahnya. Pasangan ini pernah muncul dalam beberapa majlis keramaian dan apabila ditanya rakan media, dia memperkenalkan gadis manis itu sebagai Intan, tetapi kurang jelas sama ada wanita itu isterinya.

Beberapa bulan lalu, seorang jiran memberitahu, sewaktu dia menghadiri majlis akad nikah anak saudaranya di sebuah masjid di Perak, pada waktu, tarikh dan tempat sama, Jamal turut melangsungkan pernikahan dengan gadis berkenaan. Terbaru, Jamal membuat kenyataan dalam satu rancangan hiburan akan mengadakan majlis kenduri pada Ahad ini, tetapi tidak pula disebut tempatnya. Lalu pada pertemuan dengannya semalam di Auditorium Perdana, Angkasapuri, menyambut ulang tahun ke-55 Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harian Metro cuba mendapatkan kesahihan perkhabaran itu daripada mulutnya sendiri, namun jawapan yang diterima menghampakan.

“Saya tidak perlu menjawab soalan berkenaan. Lebih baik tanya mengenai kegiatan seni,” katanya serius.Jawapannya itu membuatkan lidah kelu sebentar dan mahu tidak mahu, terpaksa diketepikan ‘persoalan besar’ itu, walaupun banyak benda bersarang di fikiran. Berkali-kali dia mengakui senang bersikap merendah diri dan menepis soalan peribadi. Berkisar bidang nyanyian, dia mula rancak bercerita. Dalam nada perlahan, dia menyuarakan kekesalannya kerana hampir 20 tahun dalam bidang seni, banyak hasrat tidak tercapai.“Saya belum dapat membalas kesetiaan peminat. Banyak album diterbitkan hingga terlupa jumlahnya. Tetapi, ketika itu saya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen pada setiap rakaman. Rakaman dilakukan tergesa-gesa dan kurang persediaan. Album akhir pada 1996. Lima tahun tidak mengeluarkan album baru. Tempoh itu memberi peluang mengkaji diri sendiri. Rupa-rupanya banyak kesilapan dan kepincangan berlaku,” katanya.

Menurut Jamal, apabila diingatkan kembali, sebenarnya dia boleh memberikan lebih baik daripada itu. “Bagaimanapun, saya bersyukur hingga sekarang kerana lagu saya masih diminati. Dua puluh tahun satu jangka masa panjang, tetapi banyak hajat tidak kesampaian dan tiada kepuasan,” ujar Jamal. Tambahnya, dia dalam proses perbincangan dengan Warner Music untuk mengeluarkan album baru. Dia berhutang satu album lagi dengan syarikat itu. “Peminat tertunggu-tunggu album baru dan album ini sebagai mengubati kerinduan mereka terhadap lagu-lagu Jamal Abdillah. Saya berjanji akan menghadiahkan yang terbaik kepada mereka. Mustahil dapat menebus kesilapan lalu, namun belum terlewat untuk memperbaikinya. Sepatutnya masuk studio Mei depan, tetapi belum `berjumpa’ dengan komposer dan lagu pun tiada lagi. Diharapkan Warner Music dapat menyediakan tempat tinggal di Kuala Lumpur supaya dapat memberikan tumpuan pada pembikinan album ini. Saya tidak mahu mengulangi kesilapan lalu,” jelas Jamal yang terpaksa berulang alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan.

Tambahnya, dia banyak menerima undangan persembahan pentas di seluruh negara, cuma tidak dihebohkan kepada media. “Bukan semua undangan diterima. Banyak faktor menyebabkan saya memilih, terutama masa dan tempat,” katanya lagi. Jelasnya, dia terharu kebanyakan lagu lamanya seperti 'Kekasih Awal Dan Akhir' yang dirakamkan pada 1991 masih diminati. “Lagu itu masih segar di hati peminat dan setiap kali mendendangkannya terasa ia baru dirakamkan. Justeru, menyedarkan betapa saya masih disayangi mereka. Saya berjanji tidak akan menghampakan harapan dan kesetiaan mereka untuk album kali ini yang memuatkan 100 peratus lagu baru,” katanya.

Sumber : Segmen 'Bintang'
-HARIAN METRO-
(3 April 2001)