Make your own free website on Tripod.com


TELEKOMUNIKASI PENJANA PENDIDIKAN BESTARI DAN KESIHATAN SEJAGAT

Kemajuan sistem pendidikan di Malaysia amat memerlukan teknologi terkini dalam telekomunikasi kerana kemajuan sitem telekomunikasi dapat menjamin sesebuah negara mencapai tahap kemajuan secara total.Dengan rasa komitmen ini,Telekom Malaysia contohnya mengambil inisiatif dengan mewujudkan Universiti Telekom yang telah mula beroperasi pada Mei 1997 bertujuan melahirkan tenaga profesional dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat bagi memenuhi sumber tenaga negara.Penubuhan Koridor Raya Multimedia yang di dalamnya pasti terdapat pentadbiran kerajaan berelektronik memerlukan pakar dalam bidang telekomunikasi yang juga berani berdaya saing.Ini menunjukkan kepentingan telekomunikasi dalam membantu pembangunan negara di samping meningkatkan kecekapan dan kepantasan dalam menjalankan tugas serta menangkis teknologi Barat yang boleh meruntuhkan sistem sosial masyarakat tempatan.Dewan Masyarakat,Mac 1997 juga dengan jelas mengiktiraf Universiti Telekom sebagai pemangkin kemajuan negara. Penggunaan komputer yang mempunyai saluran internet dalam bidang pendidikan merupakan satu lagi aset penting yang menunjukkan bahawa sistem telekomunikasi berasakan komputer dapat membantu kemajuan sesebuah negara.Dengan penggunaannya,pelajar dapat belajar sendirian,tidak perlu lagi malu bertanya dan tidak memerlukan banyak pengawasan ibu bapa atau guru-guru.C.A.I. Computer Learning misalnya dapat mewujudkan suasana lebih interaktif dengan grafik dan bunyi yang canggih. Penggunaanya juga membolehkan pembelajaran jarak jauh iaitu pelajar boleh menghadiri kuliah di rumah melalui sistem pemindahan imej video serta-merta dari kuliah.Dengan wujudnya ujian 'Jaringan Pendidikan Kebangsaan' iaitu perintis perpustakaan komputer,ia dapat menghubungkan sekolah-sekolah menengah di seluruh negara dengan semua institusi pengajian.Begitulah pentingnya sistem telekomunikasi dalam pendidikan yang menjamin kemajuan negara. Dunia pendidikan adalah sebuah dunia yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman serta peubahan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Contoh terbaik adalah projek Sekolah Bestari yang diwujudkan untuk memastikan setiap sekolah tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi telekomunikasi menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam Berita Harian,24 Mac 1997.Semua sekolah akan dipastikan mempunyai capaian internet dalam masa 2 tahun bagi melahirkan golongan intelektual yang seiring dengan kemajuan negara pada alaf baru.Ia juga menjadi agen motivasi yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar,sumber rujukan paling cepat dan memudahkan pertukaran maklumat dengan pelajar di seluruh dunia serta merangkaikannya dengan projek pendidikan nasional. Menerusi aplikasi perdana sistem telekomunikasi,teknologi multimedia dapat disepadukan ke dalam Sistem Kesihatan Kebangsaan.Setiap hospital di Malaysia akan dipasang Sistem Maklumat Pengurusan Kesihatan di mana ia menyediakan perisian komputer mengenai penyakit-penyakit yang berbeza.Pada tahun 1997,Kementerian Kesihatan telah melancarkan Sistem Kepakaran Pelesenan dan Kawalan Farmaseutikal serta Pertukaran Data Elektronik yang akan mempercepatkan pengesahan ubat-ubatan daripada 15 bulan kepada 8 bulan!Perkembangan ini menunjukkan bahawa sistem telekomunikasi secara realitinya meningkatkan kesihatan rakyat sekaligus memajukan negara kita. Langkah mewujudkan halaman internet memudahkan masyarakat mendapat maklumat kesihatan melalui e-mel.Kemajuan sitem telekomunikasi ini juga membolehkan doktor pakar memeriksa pesakit di mana-mana hospital di dunia melalui pemindahan imej perubatan seperti slaid patologi atau x-ray, nasihat secara interaktif menggunakan video antara pesakit dan doktor atau nasihat rawatan mental serta elektrokardiograf.Semuanya menjamin kemajuan sesebuah negara khususnya negara kita.Rakyat sesungguhnya aset penting negara.Sihat rakyat,majulah negara!Sakit rakyat,mundurlah megara! Utusan Megabait,Khamis 13 Februari 1997 melaporkan yang pengedar tunggal barangan kesihatan iaitu Bio-Life Sdn. Bhd. mengadakan kaunseling kesihatan daripada pakar-pakar kesihatan melalui internet di halaman web Bio-Life.Ini merupakan satu lagi cara yang efisyen dalam meningkatkan pengetahuan rakyat mengenai kesihatan secara terperinci. Realitinya,kemajuan sistem telekomunikasi dalam bidang pendidikan dan kesihatan khususnya mampu melahirkan masyarakat berteknologi.Inilah salah satu jaminan kemajuan negara dapat dicapai.


-Fathil Hidayat-
*2000 Hakcipta Terpelihara*


MEMUPUK BUDAYA CEMERLANG DI KALANGAN PELAJAR

Pengisian wawasan pendidikan negara jelas menggariskan matlamat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dan berwibawa sebaliknya generasi elit yang mandiri,bijak dan beretika mulia.Persoalannya,mampukah agenda murni ini disempurnakan sedangkan anak-anak didik di sekolah terjebak dalam perangkap delekuansi dan kemerosotan disiplin yang semakin menyiksa minda? Secara amnya,memupuk budaya cemerlang di kalangan pelajar boleh didefinasikan sebagai proses menjadikan cara hidup yang sangat baik dan sempurna kepada golongan yang menuntut di sekolah, sebagai pemangkin kejayaan bangsa dan negara pada masa hadapan.Untuk merealisasikannya, faktor-faktor yang membawa ke arah budaya cemerlang akan kita renungi dan fahami. Mengikut Pengerusi Kelab Keluarga Dan Pelajar Cemerlang Excel,Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, "Untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang,ibu mesti cemerlang,bapa pun mesti cemerlang..." Jelasnya anak-anak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan pendidikannya oleh keluarga.Sekiranya diwarnakan dengan warna pelangi,maka berserilah ia,sebaliknya jika ditumpahkan warna hitam,tentu gelaplah masa depannya.Usaha memupuk kecemerlangan di kalangan pelajar dan anak-anak ini sepatutnya bermula dari kandungan ibu.Nilai kasih sayang,etika agama dan amalan sopan berbudaya perlulah diterapkan sedalam-dalamnya agar anak-anak akan lahir sebagai insan berkualiti yang berdaya tahan serta mampu menggegarkan dunia!Gejala penderaan anak-anak,remaja lari dari rumah dan berpeleseran tidak akan berlaku seandainya keutuhan institusi keluarga dijaga dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengemaskinikan kurikulum dan memantapkan kurikulum rendah dan menengah dalam usaha memberikan input yang bersesuaian untuk melahirkan insan yang berkualiti dan cemerlang.Penekanan baru dalam kurikulum yang mustahak dan relevan ini merangkumi aspek budaya ilmu,nilai-nilai murni,sains dan teknologi,teknik dan vokasional,perpaduan negara, keusahawanan,pengantarabangsaan serta peningkatan bahasa Melayu.Hasilnya diharapkan pelajar yang dilahirkan dapat menguasai semua kemahiran dalam pelbagai bidang dan tugasan.Mereka kelak akan mewarisi dunia yang bergolak dengan ribuan serpihan maklumat namun mampu mencatur langkah tanpa kekok dan janggal. Hasrat untuk menjulang warga pelajar sebagai generasi intelek yang cemerlang tentunya tidak kesampaian seandainya sekolah tidak menyusun aturkan agenda rasmi sekolah sebagai wadah untuk membimbing dan membentuk pelajar yang berkualiti serta cemerlang.Ditambah pula dengan kemelut permasalahan pengurusan,bebanan kerja seharian,budaya SSB dan krisis identiti pelajar yang akhirnya memaksa pelajar-pelajar menjadi mangsa tekanan keadaan.Kesinambungannya,program-program seperti kursus motivasi pelajar,bimbingan kerjaya,bengkel kemahiran dan ceramah-ceramah yang melibatkan warga pelajar,ibu bapa dan guru-guru perlulah dianjur serta dipromosikan bagi menambah pengetahuan serta pengalaman pelajar-pelajar.Aktiviti kokurikulum dan berpersatuan mestilah diarahkan kepada pembentukan nilai murni dan disiplin kendiri yang tinggi agar mereka lebih berfikiran terbuka dan memperbaiki kelemahan diri masing-masing. Pakar psikologi remaja,Erikson dalam Identity,Youth & Crisis mengatakan pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang berdaya tahan mengawal tekanan emosi dan krisis identiti diri.Kegagalan menghuraikan masalah diri seperti bebanan pelajaran,ekonomi dan tekanan persekitaran dalam bentuk positif akhirnya akan mengheret pelajar melepaskan kekecewaan dengan merokok,ponteng sekolah, berpeleseran dan kerap menimbulkan masalah.Buktinya berdasarkan Laporan Disiplin Pelajar Sekolah Malaysia 1991,7310 murid sekolah rendah dan menengah terlibat dalam salah laku merokok.Buletin Utama TV3 juga pernah melaporkan bahawa terdapat pelajar perempuan di bawah umur 18 tahun yang terlibat dalam kes-kes maksiat telah meningkat 300 hingga 400 peratus tahun 1996 berbanding tahun sebelumnya.Sepatutnya tekanan emosi diluahkan dalam bentuk penyaluran murni seperti beriadah atau menyertai aktiviti kebudayaan mahupun memakmurkan surau atau masjid. Pelajar cemerlang mestilah berupaya menguasai pelbagai bahasa di dunia khususnya yang bersifat komersil kerana ia bukan sahaja untuk memudahkan komunikasi sebaliknya untuk menguasai pelbagai maklumat dan cabang ilmu dalam pelbagai bidang.Ini memudahkan pemindahan teknologi asing ke negara kita.Kefasihan berbahasa Inggeris,Jepun,Perancis dan Arab misalnya amat diperlukan dalam hubungan perdagangan antarabangsa.Kekuatan kerjasama ekonomi Malaysia dengan Jepun dan negara Timur Tengah ternyata bergantung kepada kebolehan menguasai bahasa dan pasaran negara tersebut melalui pelbagai promosi dan seumpamanya.Kesannya,negara telah mengaut keuntungan khususnya dalam penjualan kereta nasional di luar negara. Insan cemerlang mestilah insan kamil yang berteraskan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.Pelajar yang cemerlang mestilah menyedari amanah dan tanggungjawab yang dipikul mereka sebagai seorang anak,pelajar dan pendakwah yang mengaplikasikan ilmu pengetahuan ke jalan kebaikan.Ketiadaan matlamat hidup di landasan kebenaran hanya akan melahirkan pelajar yang mendewa-dewakan kemewahan dan melontarkan nilai-nilai agama ke tepi-tepi longkang!Kejadian rasuah dan pecah amanah cukup untuk menggambarkan generasi bijak bersifat 'intelectual disasters' amat merugikan bangsa dan negara.Oleh itu,insan cemerlang mestilah menjaga maruah diri,menjulang etika agama dan memartabatkan bangsa dan negara. Kesimpulannya,dalam hadith ada dinyatakan peribadi Rasulullah S.A.W. sebagai contoh manusia cemerlang..."Sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan cemerlang ke atas tiap-tiap sesuatu yang dilakukan".Hadith ini begitu jelas membuktikan kecemerlangan dalam apa jua perkara amat dituntut oleh Islam sendiri.Hanya kecemerlangan akan membawa rakyat Malaysia melangkah gagah di alaf baru!


-Fathil Hidayat-
*2000 Hakcipta Terpelihara*


ISU WARGA ASING DI MALAYSIA

Keghairahan warga asing merebut peluang pekerjaan telah mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam kancah jenayah dan maksiat.Karenah mereka yang semakin menjadi-jadi menimbulkan pelbagai masalah yang mengganggu ketenteraman masyarakat tempatan seperti merompak,merogol,membunuh, mengedar dadah dan kegiatan penyeludupan.Situasi rumit ini dapat dilihat daripada 144 kes jenayah yang melibatkan pendatang asing dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 1997.Sebanyak 73 kes daripadanya melibatkan pendatang asing.Ketua Polis Negara menegaskan bahawa pihak polis terpaksa mempergiatkan operasi yang berterusan bagi menangkap warga asing yang datang secara haram. Walaupun kegiatan maksiat dan pelacuran hangat diperkatakan oleh masyarakat tempatan,namun setelah kehadiran warga asing,masalah ini menjadi isu utama di dada-dada akhbar.Jika sebelum ini hotel-hotel dan rumah-rumah tumpangan menjadi sarang pelacuran,tetapi kini van juga dijadikan tempat kegiatan tersebut.Mengikut majalah MASSA keluaran 16 September 1995,anggaran secara kasar menunjukkan jumlah wanita warga asing yang terlibat dengan aktiviti pelacuran melebihi 20 000 orang.Berdasarkan perangkaan pihak polis,secara purata 1500 wanita asing ditahan sejak 5 tahun lalu yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini. Kes-kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita juga membabitkan pendatang asing yang tinggal di kawasan pesat membangun khususnya di sekitar Lembah Klang.Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat,Yong Khoon Seng,daripada 56 kes pembuangan bayi pada tahun 1993,36 daripadanya dilakukan oleh pendatang asing!Namun kejadian-kejadian jenayah yang membabitkan warga asing sukar dikesan kerana mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan dokumen palsu. Kemasukan warga asing ini menyebabkan kegiatan pemalsuan kad pengenalan,permit kerja dan pasport antarabangsa kian meningkat dan mereka dilaporkan beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menurut laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Disember 1994.Selain itu,sejak kebelakangan ini,banyak kejadian bunuh-membunuh dipercayai berpunca daripada pergaduhan di kalangan kumpulan warga asing.Pada 24 November 1994,kita dikejutkan dengan laporan akhbar tentang seorang anggota polis yang cedera parah ditembak sewaktu melakukan pemeriksaan ke atas 3 lelaki asing di daereh Brickfields,Kuala Lumpur. Keghairahan warga asing berlumba-lumba meraih rezeki di Malaysia telah menimbulkan pelbagai masalah sosial.Kedatangan mereka pada mulanya dengan niat baik bagi mencari sesuap nasi tetapi dengan sekelip mata bertukar menjadi serong setelah menikmati kemewahan yang berlipat kali ganda berbanding pendapatan pekerjaan di negara mereka.Keinginan nafsu telah mendorong mereka bertindak buas setelah melihat kejelitaan gadis-gadis tempatan.Dengan ini,berlakulah perkosaan dan kes-kes mencabul kehormatan ke atas gadis-gadis tempatan yang menimbulkan kemarahan masyarakat tempatan. Ini dibuktikan dalam majalah MASSA bertarikh 28 Disember 1996 mengenai kejadian yang berlaku di Taman Seri Bahagia,Johor Bharu.Peristiwa yang berlaku pada 8 September 1996 membabitkan 200 penduduk tempatan yang memukul 13 orang Bangladesh yang mengganggu anak-anak gadis tempatan cukup menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat tempatan terhadap warga asing. Pergaduhan tidak henti-henti yang dicetuskan oleh warga asing memaksa Menteri Luar Bangladesh bergegas ke Malaysia untuk menjernihkan perhubungan kedua-dua negara.Sesungguhnya,kehadiran mereka telah menggugat keistimewaan penduduk tempatan terutamanya dalam aspek kemudahan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.Perasaan tidak puas hati timbul setelah masyarakat tempatan terpaksa menggunakan khidmat klinik swasta yang memerlukan wang yang lebih.Keistimewaan mereka ini telah dirampas oleh warga asing yang mengambil peluang mendapat khidmat hospital dan klinik kerajaan yang hanya memerlukan kos rawatan yang rendah.Menurut perangkaan Persatuan Perubatan Sabah,setelah kemasukan warga asing di negara kita,nisbah doktor kepada penduduk negeri itu telah meningkat dari 1:2941 orang kepada 1:5000 orang pesakit.Ini menambahkan beban negara kita dalam memberikan khidmat perubatan yang sempurna kepada rakyat. Kebanjiran warga asing juga menyebabkan rakyat tempatan terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan yang sememangnya hak mereka selaku warganegara Malaysia.Kerja-kerja yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak bangsa telah dirampas oleh warga asing yang kebanyakannya datang secara haram.Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 1995,sebahagian besar pekerjaan dalam apa jua sektor telah diambil alih oleh burung asing yang kebanyakannya datang dari Indonesia dan Bangladesh.Oleh kerana negara mempunyai lebih 1 000 000 buruh asing, beratus ribu ringgit wang negara mengalir keluar ke negara asal mereka setiap bulan.Menurut Dekan Fakulti Ekonomi UKM,Profesor Madya Dr. Mohammad Alias,perkembangan ini amat merugikan Malaysia dari segi tukaran wang asing. Jelasnya,memang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun bahawa kemasukan warga asing ke negara kita telah meningkatkan kadar jenayah dan maksiat dengan begitu drastik lagi membimbangkan.


-Fathil Hidayat-
*2000 Hakcipta Terpelihara*



BEIJING...SATU CATATAN PENGALAMANKU

Ketika mula menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing tepat jam 3.30 petang,30 Mei 1997,perasaanku tidak menentu. Terbayang di benakku gambaran kota Beijing yang padat dengan penduduknya seperti yang ku baca daripada beberapa risalah pelancongan sebelum itu.Apakah kota Beijing seperti itu sesuai untuk pengembara sepertiku?Namun setelah lebih 7 hari di sana,jawapan yang dapat ku berikan pastinya..."SUDAH TENTU!" Beijing merupakan ibu negara Republik Rakyat China yang terletak di barat laut bahagian utara China dengan Banjaran Yanshan di utaranya,Banjaran Taihang di barat dan Laut Bohai di sebelah timur.Kota Beijing meliputi kawasan seluas 17 800 kilometer persegi atau 24 kali ganda kota Jakarta! Ia mempunyai populasi kira-kira 11 juta penduduk.Di dalamnya pula,terdapat 10 buah daerah dan 8 buah wilayah.Berbasikal merupakan amalan seharian penduduk Beijing. Mengikut kajian sejarah,Beijing mula wujud kira-kira 500 000 tahun yang lampau dan dikenali sebagai 'Peking'.Pada 1122 SM, Putera Yanji menjadikan Peking pusat bandar daerah baginda.Peranannya sebagai bandar strategik berterusan hinggalah pada zaman Dinasti Han,Tang dan Song memerintah.Pada 1403 M,Dinasti Ming mengubah nama Peking yang sebelum itu dikenali sebagai Nanjing, Hongdu,Dadu dan Jingling kepada 'Beijing' atau 'Pusat Bandar Utara' yang kekal sehingga ke hari ini.Negara China mula 'membuka pintu kepada dunia' pada tahun 1980 setelah mengamalkan dasar sebaliknya sebelum itu.Secara langsung,kota Beijing menjadi tumpuan para pelancong luar untuk meneroka keajaiban Tembok Besar atau 'The Great Wall',melihat keagungan maharaja China masa lampau di Kota Larangan atau 'The Forbidden City',bersiar-siar di Istana Musim Panas atau 'The Summer Palace' mahupun menziarahi masjid yang berusia 1001 tahun di Jalan Niujie.Sebelum tahun 1980an,sesiapa pun tidak berkesempatan untuk mengunjunginya. Kesannya,kira-kira 150 juta pelancong asing membanjiri China setiap tahun pada ketika ini.Sebagai seorang warganegara Malaysia yang tidak pernah menyangka akan berpeluang melawat antara kota teragung dalam sejarah dunia itu,1 Jun 1997 menyaksikan aku berbangga menjejakkan kaki di salah satu daripada 2 objek buatan manusia yang mampu dilihat dengan mata kasar oleh angkasawan di bulan! Itulah Tembok Besar China yang merupakan simbol keagungan tamadun China zaman silam khususnya dan ketinggian tamadun manusia amnya.Ia mula dibina hampir 3 000 tahun yang lampau yang bermula di Jiayu Pass di sebelah barat dan berakhir di Shanghai Pass di sebelah timur.Panjang keseluruhannya menjangkau 6 700 kilometer - hampir 7 kali ganda kepanjangan Semenanjung Malaysia. Bahagian tembok ini yang paling tinggi dan paling ramai dikunjungi pelancong ialah di Badaling,59 kilometer di utara kota Beijing.Penat jerihku menyusuri tembok itu tidak sia-sia kerana sijil yang membuktikan bahawa aku telah menjejakkan kaki di sana ku perolehi pada hari yang sama.Pepatah China ada mengatakan,"Jika kita gagal menjejakkan kaki di Tembok Besar,kita bukannya jagoan sejati!"Mengenangkan pepatah itu membuatkan hampir semua orang terutamanya masyarakat Cina mengimpikan untuk menjejaki Tembok Besar yang tersohor itu.Selepas itu,aku berpeluang melawat Kota Larangan yang terletak di tengah-tengah kota Beijing tanggal 2 Jun 1997.Kota ini pernah menjadi istana kediaman 24 orang maharaja dalam Dinasti Ming dan Qing.Seluruh kawasan istana yang amat luas itu mula dijadikan muzium pada tahun 1925.Mengikut kajian-kajian sejarah,Kota Larangan mula dibina pada 1406 M ketika Dinasti Ming masih memerintah iaitu sezaman dengan Kesultanan Melayu Melaka.Ia meliputi kawasan seluas 72 hektar dengan keluasan bahagian bawah tanah kira-kira 150 000 meter persegi dan tembok yang mengelilinginya setinggi 10 meter.Dengan tembok berwarna merah, lantai disaluti warna kuning keemasan dan alat kebesaran di raja yang tidak ternilai harganya,Kota Larangan atau 'The Forbidden City' masih berdiri kukuh sebagai lambang keagungan dan ketamadunan negara China sejak zaman-berzaman.Selain destinasi-destinasi pelancongan tersebut,melawat Lapangan Tian An Men menjadi satu kemestian kepada pelawat-pelawat dari seluruh dunia yang berkunjung ke kota Beijing.Kemasyhuran mercu tanda bandaraya itu telah pun menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah China termasuklah perarakan dan perhimpunan rakyat Hong Kong sempena penyatuan Hong Kong dan China pada 1 Julai 1997.Ia menjadi simbol kepentingan lapangan itu terhadap negara China selama ini.Sayangnya,seminggu selepas kepulanganku ke tanahair,perhimpunan raksasa itu berlangsung menyebabkanku terlepas peluang merasai suasana yang penuh bersejarah itu.Beijing di mata pelancong asing juga merupakan destinasi membeli-belah paling ideal terutamanya sutera asli yang murah harganya.Tidak hairanlah jika kota itu digelar 'The Land of Pure Silk' oleh sesetengah pihak.Tembikar China yang masyhur iaitu Jingfa cukup untuk menggamit kedatangan pelancong ke sana buat kali kedua. Beijing sememangnya 'Kota Berbudaya'.Dengan penduduknya yang rajin bekerja dan sopan,janganlah berharap untuk melihat sebutir sampah pun di Beijing!!!

-Fathil Hidayat-
*2000 Hakcipta Terpelihara*


Ke Laman iLHAMrASAkU